Wednesday, September 17, 2008

Trilogi Bumi Manusia

Dunia Melayu Yang Tersirat Dalam Tetralogi Bumi Manusia Pramoedya
Koh Young Hun


Bumi Manusia-Satu Tonggak Baru

Pramoedya merupakan seorang novelis Indonesia yang terkemuka dan sering dibicarakan oleh pengkritik sastera dalam dan luar negara Indonesia. A. Teeuw pula pernah mengungkapkan bahawa Pramoedya adalah penulis yang muncul hanya sekali dalam satu generasi, atau malah dalam satu abad (1980: 242). Di antara hasil-hasil karya sastera Indonesia, barangkali karya-karya sastera yang dihasilkan oleh Pramoedya merupakan karya yang paling banyak diterjemahkan dalam bahasa-bahasa asing di luar Indonesia. Justeru hakikat inilah yang membuat Pramoedya sebagai novelis Indonesia yang terkenal dalam arena sastera internasional. Di samping itu, jejak kehidupannya yang bersengsara pada masa yang lalu pula mengambil perhatian golongan pembaca di luar negara. Akan tetapi sebagaimana yang diketahui di Indonesia nama Pramoedya semakin terlupa dalam kalangan pembaca, khususnya para pembaca muda, kerana karya-karyanya dilarang beredar.

Pramoedya menerbitkan novel Bumi Manusia pada bulan Ogos 1980, iaitu lapan bulan selepasnya dari tarikh pembebasan dari pengasingan Pulau Buru. Novel ini merupakan bahagian pertama dari tetraloginya yang tersusul, iaitu Anak Semua Bangsa (1980), Jejak Langkah (1985) dan Rumah Kaca (1988). Tetralogi ini dapat dianggap sebagai karya novel sejarah Indonesia yang mengandungi wawasan baru. Ini kerana Pramoedya memaparkan amanat yang istimewa dalam karya novel tersebut.

Sejarah adalah merupakan satu fakta, atau sesuatu yang dapat dibuktikan dengan fakta. Sejarawan mahu tidak mahu terikat pada fakta-fakta yang pernah terjadi: dia tidak bebas dalam penggarapan bahan-bahan sejarah itu. Akan tetapi, seorang penulis novel sejarah dapat lebih bebas menciptakan ceritanya sendiri. Menurut Georg Lukacs, novel sejarah yang sebenar ialah novel yang membawa masa lampau kepada kita dan membuat kita mengalami hakikat masa silam yang sebenar (1962: 53).


Dalam menganalisis seri novel sejarah Bumi Manusia ini eloklah perhatian lebih utama diberikan kepada penyorotan pemikiran Pramoedya sendiri. Dengan perkataan lain, apa yang dimaksudkan oleh Pramoedya sendiri lebih penting daripada penjelasan fakta sejarah yang berkenaan. Ini kerana, seorang penulis novel sejarah tidaklah berhajat untuk mendedahkan sifat hakiki masa yang silam saja, melainkan dia lebih berkecenderungan untuk memaparkan pemikirannya sendiri dengan berpandukan kepada fahaman masa lalu. Dalam konteks ini, sebagai seorang sasterawan yang juga pengamat sejarah bangsanya yang serius, Pramoedya menciptakan tidak lain sebuah karya sastera. Menurut pandangan Jakob Sumardjo, sejarah merupakan harta karun budaya yang dapat digali, ditimba, ditafsirkan dalam kaitan membicarakan masalah masa kini. Di sana penuh dengan lambang, kejadian yang tidak jelas dan kerananya menentang imaginasi bentuk mengembangkannya. Sejarah sebenarnya adalah wilayah bagi sasterawan yang serba berkemungkinan (1985). Jadi, sebagai seorang sasterawan, beliau amat beruntung kerana boleh melepaskan dirinya dari ikatan-ikatan disiplin sejarah yang amat terikat pada fakta, bukti dan ketepatan peristiwa itu. Pramoedya, justeru itu, secara bebas mencipta dan membentuk watak-watak historis mengikut kemahuannya. Maka, hasilnya lahirlah watak Minke alias R. M. Tirto Adhisoerjo, bapa kewartawanan berbahasa Melayu di Jawa dan perintis pergerakan yang telah menubuhkan Syarikat Priyayi dalam tahun 1906, yang agak lebih romantis dan lebih bersih daripada hakikatnya (Ahmat Adam 1989: 32).

Berhubungan dengan ini, dapat dikatakan bahawa, walaupun ada banyak kemiripan antara watak utama Minke dengan R. M. Tirto Adhisoerjo, mereka tidak keseluruhannya identik. Pramoedya sendiri menegaskan bahawa novel-novelnya tetap harus dibaca sebagai karya fiksi, bukan sebagai buku sejarah (dalam wawancara 17 Jun 1991). Oleh sebab itu watak utama dalam tetralogi ini bukan Tirto, melainkan Minke sebagai seorang tokoh buatan yang bersumberkan dari tokoh sejarah itu. Mengenai pengambilan tokoh Tirto, beliau menjelaskan sebagai berikut:

R. M. Tirto bukan saya maksudkan ditampilkan sebagai hero, tapi sebagai individu yang telah melepaskan diri dari kebersamaan tradisional, yang berabad lamanya jadi penghambat progres. Ini nilai kultural yang telah dicapai oleh R. M. Tirto (surat kepada Marjanne Termorshuizen Arts, 6 Feb. 1987).


Perlu diingatkan bahawa sastera yang baik dapat menciptakan kembali rasa kehidupan, bobot, dan susunannya. Menciptakan kembali keseluruhan hidup yang dihayati, kehidupan emosi, kehidupan budi, individu mahupun sosial, dunia yang penuh mengandungi objek. Hal ini diciptakannya bersama-sama dan secara saling berjalinan, seperti yang terjadi dalam kehidupan yang kita hayati sendiri. Sastera yang baik menciptakan kembali kemendesakan hidup (Richard Hoggart 1966: 226-227). Pramoedya pula berpendapat bahawa seorang pengarang juga mengedepankan ideanya tentang masa tertentu dalam hasil karya, dan dia bukan hanya memotret peristiwa sejarah, tetapi juga menghidupkan sejarah dengan pendapat peribadi (dalam wawancara 17 Jun 1991).

Dalam karya ini Pramoedya menyentuh beberapa hal yang belum pernah dibicarakan oleh para sasterawan Indonesia yang lain. Beliau dengan terus terang memaparkan pandangan mengenai imej pemberontakan terhadap kuasa kolonial, warisan kebudayaan bangsa, pergerakan kebangkitan bangsa di tanahairnya, peranan wanita dalam peralihan zaman dan humanisme. Dalam sebahagian besar karya-karya sasteranya yang terdahulu, Pramoedya menceritakan masalah perseorangan manusia yang diilhami oleh peristiwa-peristiwa yang dialaminya sendiri. Sedangkan dalam tetralogi ini beliau mengolah masalah manusia sebagai warga dunia, masalah warisan kebudayaan, yang berkaitan dengan hari depan bangsa sendiri (Koh Young Hun, 1993: 131). Hakikat ini membuktikan bahawa pemikiran Pramoedya dalam karya ini adalah lebih matang daripada masa yang dulu, dan cakerawala pemikiran pula sudah diperluaskan. Dalam pada itu, pemikiran kebangkitan nasional (nasionalisme) yang dipaparkan dalam karya ini dapatlah dikaitkan dengan dunia Melayu.
Bahasa dan Agama sebagai Faktor Penyatuan Bangsa

Terdapat bermacam-macam definisi tentang nasionalisme dengan sudut pandangan masing-masing. Antara lain, nasionalisme dihuraikan sebagai suatu keadaan akal atau fikiran yang mengembangkan keyakinan bahawa kesetiaan terbesar harus diberikan kepada negara (Hans Kohn 1965: 6);gabungan rasa kesetianegaraan dengan kesedaran kerakyatan (Carlton J. H. Hayes 1931: 6) dan lain-lain. Akan tetapi, dari apa yang ada ini dapat dikatakan bahawa suatu definisi atau konsep nasionalisme yang khusus tidak dapat diterapkan untuk semua negara bagi digunakan untuk menghuraikan gerakan nasionalisme masing-masing. Ini kerana pengalaman hidup yang menumbuhkan gerak kesedaran sesuatu masyarakat ke arah penentuan nasib tidaklah sama pada semua negara.

Tanggapan Pramoedya mengenai penyatuan bangsa, yang dipaparkan dalam karya ini perlu ditekankan. Ini kerana beliau memberi tanggapannya dengan tafsiran tersendiri. Misalnya, beliau berpendapat bahawa selepas kerajaan Majapahit sampai awal abad ke-20, bangsanya belum pernah dipersatukan. Maka, bangsa baru yang mencakupi kepulauan yang jauh lebih besar daripada Majapahit ini dapat dipersatukan dengan beberapa faktor yang sedikit sebanyak memiliki persamaan dan sarana moden yang diperlukan. Faktor-faktor tersebut, antara lain, adalah bahasa Melayu yang sudah menjadi lingua franca di seluruh kepulauan Nusantara pada masa itu dan agama Islam sebagai kepercayaannya.

Tanggapan ini bertepatan dengan penjelasan Ben Anderson yang menegaskan bahawa “nationalism has to be understood by aligning it, not with self-conciously held political ideologies, but with the large cultural systems that preceded it, out of which - as well as against which - it came into being” (1986: 19). Sistem kebudayaan yang sesuai untuk memenuhi matlamat itu, menurut Ben Anderson, adalah komuniti agama dan alam dinasti (dynastic realm). Dengan demikian anggota-anggota masyarakat dapat menganggap bahawa, walaupun saling tidak kenal-mengenal, mereka adalah berada di bawah satu naungan, iaitu komuniti bayangan (imagined community) (ibid. : 15-16). Maka, beliau memberi definisi mengenai bangsa sebagai suatu komuniti politik yang dibayangkan sebagai terhad dan berdaulat. Beliau seterusnya menerangkan bahawa karya novel dan suratkhabar boleh memberi sarana teknikal untuk menubuh semula suatu komuniti bayangan, iaitu suatu bangsa. Ini kerana para pembaca novel dan suratkhabar, walaupun berada secarara berasingan, dapat mengambil imej yang sama, iaitu imej bayangan (ibid. : 30-34).

Kalau ditinjau dari segi ini, pandangan Pramoedya yang menganggap peranan suratkhabar berbahasa Melayu sebagai pemimpin fikiran masyarakat pembaca untuk membangkitkan kesedaran dalam karya ini dapat dikatakan sesuai dan masuk akal. Sokongan penuh terhadap pemilihan bahasa Melayu sebagai penentu “Bangsa Melayu Besar” (Pramoedya 1985: 450), walaupun bukan bahasa ibunda (mother tongue)nya, menunjukkan sikapnya yang lebih mengutamakan faktor-faktor yang praktikal untuk penyatuan bangsa. Hakikat ini menunjukkan hasrat pengarang yang ingin menyatukan sebuah bangsa yang sebenar, iaitu bangsa yang sudah sedia bersatu dalam bahasa dan agama. Pramoedya menunjukkan pendapatnya melalui watak Minke seperti berikut:

Tidak sebagaimana diimpikan Douwager, tetapi berdasarkan bahan-bahan yang telah disediakan oleh nenek-moyang, bukan yang diambil dari angan-angan satu dua orang. Dan dasar-dasar itu adalah golongan tengah Pribumi yang menentukan kehidupan di Hindia, agama Islam sebagai dasar persaudaraan, usaha merdeka dan perdagangan sebagai dasar hidup bersama. Bahwa persatuan yang dapat melahir-kan nasionalisme Hindia bukan semata-mata Jawa, bukan semata-mata Hindia, tetapi di mana saja ada bangsa yang berbahasa Melayu, Islam dan merdeka (Pramoedya 1985: 447-448).


Adalah tepat kalau dikatakan bahawa penentunya dunia atau tamadun Melayu adalah bahasa Melayu dan agama Islam. Kepentingan bahasa Melayu untuk dunia Melayu amat muktamad, seperti dijelaskan oleh Ben Anderson. Agama Islam pula sudah menjadi rantai pengikat bagi bangsa Melayu. Ada pendapat bahawa “tamadun Melayu adalah tamadun Islam dari Asia Barat dan tamadun Islam itu sendiri telah pun mencapai kedudukan yang gemilang jauh terdahulu daripada tamadun Eropah moden” (Harun Mat Piah 1989: 433). Aziz Deraman pula menjelaskan bahawa perlembagaan yang memperuntukkan Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan institusi raja berperlembagaan tidak lain sebagai hakikat sejarah dan kesinambungan budaya yang tidak terkeluar begitu saja (1992: 18). Dan bahasa Melayu serta agama Islam di dunia Melayu tidak dapat dipisahkan. Ini kerana antara lain bahasa dan khazanah sastera Melayu sebagian besarnya ditulis dengan nafas Islam. Jadi, kedua faktor, iaitu bahasa Melayu dan agama Islam dapat dianggap sebagai unsur penyata kesatuan bangsa Melayu.
Bahasa Melayu

Pramoedya menekankan pentingnya penggunaan bahasa Melayu sebagai salah satu faktor penyatuan bangsanya dalam tetralogi ini. Beliau mengutarakan pandangan ini melaui watak-watak yang muncul dalam karya ini, khususnya watak utama Minke. Pada awal ceritanya Minke sebenarnya digambarkan lebih bijak menulis makalah untuk suratkhabar dalam bahasa Belanda daripada bahasa Jawa dan bahasa Melayu, kerana dia menerima pendidikan di HBS (Hogere Burger School) yang menggunakan bahasa Belanda sebagai bahasa perantaraannya. Akan tetapi, apabila golongan bukan peribumi menerbitkan suratkhabar dalam bahasa Melayu dan bahasa Jawa, watak-watak seperti Marais dan Kommer, sebagai orang-orang yang memupuk semangat nasionalisme kepada Minke, mula mendesaknya supaya menulis makalah dalam bahasa Melayu. Ini kerana pada waktu ini bahasa Melayu sudah menjadi lingua franca di kepulauan Indonesia. Watak-watak tersebut menganggap bahawa dengan berbuat demikian, Minke dapat mempersoalkan isu-isu yang menyangkut kepentingan pembaca peribumi sendiri secara lebih berkesan dan menyeluruh. Mereka menuntut seperti berikut:

“Sekali Tuan mulai menulis Melayu, Tuan akan cepat dapat menemukan kunci. Bahwa Tuan mahir berbahasa Belanda memang mengagumkan. Tetapi bahwa Tuan menulis Melayu, bahasa negeri Tuan sendiri, itulah tanda kecintaan Tuan pada negeri dan bangsa sendiri - - - - Siapa yang mengajak bangsa-bangsa pribumi bicara kalau bukan pengarang-pengarangnya sendiri seperti Tuan?” (Pramoedya 1980b: 104).


Seperti yang dijelaskan di atas, Minke dituntut untuk menyuluhi bangsanya sendiri yang tenggelam dalam kegelapan melalui tulisan dalam suratkhabar. Untuk itu dia harus mendalami bahasa Melayu yang sudah tersebar di seluruh kepulauan Indonesia. Pada permulaan abad ke-20, yang merupakan latar belakang waktu karya novel ini, bahasa Jawa hanya digunakan secara terbatas dalam lingkungan orang-orang Jawa, begitu juga bahasa Sunda, dan bahasa-bahasa suku yang lain, kecuali bahasa Melayu. Di samping itu, kaum intelek Indonesia yang sejak tahun 1908 dengan pelbagai cara telah berusaha untuk mendirikan organisasi-organisasi bagi mempengaruhi rakyat agar mereka bangun dan maju, lambat laun sedar bahawa mereka tidak akan dapat berhubungan rapat dengan seluruh rakyat melalui perantaraan hahasa Belanda. Ini kerana bahasa Belanda itu untuk selama-lamanya hanya akan dapat difahami oleh sejumlah yang kecil dari bangsa Indonesia. Berdasarkan kepada keyakinan bahawa hanya penyatuan bangsa Indonesia seluruhnya yang dapat suatu tenaga besar untuk menentang kekuasaan penjajahan, maka dengan sendirinya mereka berusaha mencari suatu bahasa yang dapat difahami oleh bahagian rakyat yang terbesar, iaitu bahasa Melayu (S. T. Alisjahbana 1956: 14-15).

Menurut John Hoffman, bahasa Melayu telah pun diperkenalkan di daerah Ambon mulai pertengahan abad ke-15 oleh para pedagang yang datang dari Melaka ; dan, pada awal abad ke-17 dapat dikatakan bahasa ini digunakan secara meluas di daerah tersebut. Di daerah Batavia pula, mulai tahun 1620, bahasa Melayu sudah merupakan salah satu bahasa agama pembaharuan (reformed religion). Dan pada awal abad ke-18 pihak VOC (Verenigde Oost Indische Compagnie) lebih memihak untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan-urusan perdagangan dan pentadbiran (1979: 66-77). Sebenarnya, sudah dijelaskan oleh ahli-ahli bahasa bahawa jauh lebih sebelumnya, iaitu mulai abad ke-8, bahasa Melayu sudah lama berfungsi sebagai alat komunikasi dalam masyarakat yang sudah mencapai keberaksaraan dan segala ciri kebudayaan canggih yang lain. Dengan demikian bahasa Melayu dapat mengambil peranan yang penting di kepulauan Nusantara ini. George Mac T. Kahin pula menegaskan habawa satu faktor penyatuan Hindia adalah perkembangan satu lingua franca lama di kepulauan itu, iaitu bahasa Melayu, sebagai bahasa kebangsaan, yang bersama-sama dengan agama Islam telah berjaya melenyapkan fahaman sempit mengenai nasionalisme Indonesia (1980: 50).

Pramoedya dalam karya ini memberi penjelasan kenapa bahasa Melayu harus digunakan untuk membentuk persatuan bangsa. Tanggapannya ialah selain dari sudah menjadi lingua franca di kepulauan itu, bahasa Melayu mempunyai ciri-ciri khas, iaitu sangat praktikal kerana tidak mengandungi tingkatan-tingkatan pertuturan bahasa. Dalam pandangan ini tersirat keinginan beliau hendak melepaskan ciri-ciri warisan yang feudal, kerana tingkatan-tingaktan dalam suatu penggunaan bahasa sebenarnya hanya digunakan oleh golongan masyarakat feudal sahaja, yang memang berhasrat mewujudkan tingkatan itu.

Watak utama Minke sebetulnya mengalami perubahan fikiran selepas dia menangani kes Trunodongso di Tulangan. Kes Trunodongso ini memberikan rangsangan besar kepada Minke untuk mengenal bangsanya sendiri dengan lebih mendalam. Dalam pada itu, Minke mula merasakan suatu konflik telah timbul dari dalam hati nuraninya. Ini kerana, walaupun dia menganggap dirinya sebagai seorang pengagum Revolusi Perancis, yang meletakkan harga diri manusia pada tempatnya yang tepat, namun jiwa dan semboyan revolusi itu belum dapat mengubah sikapnya dalam kehidupan sehari-hari. Maksudnya gagasan revolusi itu hanya tinggal jadi pengetahuan atau hiasan sahaja dalam fikirannya. Buktinya ialah, Minke merasa tersinggung juga kalau seorang petani, seperti Trunodongso bertegur dengan bahasa Jawa ngoko kepadanya. Maka, dia bercakap seorang diri: “Kau belum mampu melepaskan keenakan-keenakan yang Kau dapatkan dari leluhurmu sebagai penguasa atas pribumi bangsamu sendiri. Kau curang! Mata semboyan kebangsaan, persamaan dan persaudaraan Revolusi Perancis itu Kau pungkiri, demi keenakan warisan itu”. Seperti yang dapat dilihat dalam adegan ini, satu saat perubahan penting (turning point) berlaku dalam dirinya, kerana pemikiran Minke mengalami perubahan dari saat itu. Berbanding dengan sebelumnya, Minke dengan aktif melibatkan diri dalam pembelaan kaum marhaen melalui tulisan berbahasa Melayu dalam suratkhabar. Oleh yang demikian, dapat dikatakan bahawa soal penggunaan bahasa Melayu membuka jalan yang luas untuk mencapai cita-citanya.

Dengan demikian Minke memilih bahasa Melayu sebagai salah satu faktor bagi mengelakkan dunia yang bemasalah. Dari itu watak utama Minke akhirnya digambarkan sebagai seorang pelopor yang amat menghargai bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan dalam suratkhabar dan organisasi-organisasi baru. Maka, apabila bertemu dengan ketua cawangan Palembang Syarikat Dagang Islamiah dalam perjalanan yang diadakan untuk melihat perkembangan organisasi itu dari dekat, dia menjelaskan perlunya menggunakan bahasa Melayu seperti ini:

“Dik,” panggilnya, “mengapa kita mesti menggunakan Melayu?”
“Dalam rapat-rapat cabang yang tahu bahasa Jawa tentu tak diharuskan berbahasa Melayu. Tetapi kalau tingkatnya sudah kongres atau tingkat pusat, atau berhubungan dengan pusat, tak bisa tidak harus dipergunakan Melayu. ”
“Mengapa Jawa harus dikalahkan oleh Melayu?”
“Diambiul praktisnya, Mas. Sekarang, yang tidak praktis akan ter- singkir. Bahasa Jawa tidak praktis. Tingkat-tingkat di dalamnya adalah bahasa pretensi untuk menyatakan kedudukan diri. Semua anggota sama, tak ada yang lebih tinggi atau lebih rendah - - - - Waktu bangsa-bangsa asing menguasai Nusantara, bukan Jawa lagi bahasa diplomasi. Melayu. Organisasi bukan organisasi Jawa, tapi Hindia - - - -“
“Tapi orang Jawa lebih banyak. ”
“Orang Jawa tak perlu bersusah-payah mempelajari Melayu, sebaliknya bangsa-bangsa lain membutuhkan tahunan untuk bisa menggunakan Jawa. Kita ambil praktisnya. Apa salahnya orang Jawa mengalah, melepaskan kebesaran dan kekayaannya yang tidak tepat lagi untuk jamannya yang juga tidak tepat? Demi persatuan Hindia?” (Pramoedya 1985: 373-374).


Denzel Carr pula berpendapat bahawa bahasa Melayu lebih demokratik daripada bahasa Jawa, dan lebih sederhana dalam bentuk tatabahasa, pengucapan dan paling utama dalam kekayaan kata-kata (1959). Memandangkan definisi bahasa sebagai ucapan fikiran dan perasaan manusia, maka segala usaha Pramoedya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan, yang dipaparkan dalam karya ini patut diberi perhatian.

Dengan itu Minke sendiri berusaha untuk mempraktikkan sifat bukan feudal bahasa Melayu dalam pembicaraan sehari-hari. Ini diketahui dari hakikat bahawa dia menasihati Krio, seorang calon anggota Syarikat Dagang Islamiah supaya menggunakan istilah “sudara”, dan bukan “ndoro” lagi kepada Minke, apabila dia mengunjungi cawangan Solo organisasi itu. Alasannya ialah, menurut Minke, sebutan “sudara” berasal dari “se-dara”, “se-susu”, “se-penyusuan” yang mengandungi makna kesamarataan (Pramoedya 1985: 369). Selain dari itu, Minke menganggap bahawa hanya dengan bahasa Melayu organisasi umum di Hindia Belanda akan dapat menjadi besar dan subur. Maka, dia mendesak Samadi, ketua cawangan Solo yang lebih menghendaki bahasa Jawa, supaya memberikan keyakinan kepada bahasa Melayu dengan alasan bahawa bahasa Melayu semakin jauh dari pengajaran pihak penjajah, semakin jauh dari orang-orang feudal, semakin demokratik dan menjadi alat perhubungan yang nyaman, dan lebih-lebih lagi ianya memang bahasa bebas. Ini kerana, menurutnya hanya golongan bebas yang akan menentukan nasib bangsa-bangsa Hindia, dan salah satu syarat untuk persatuan bagi bangsa-bangsa majmuk itu adalah dekat-mendekati dasar demokrasi (ibid. : 169).

Perlu ditegaskan bahawa skala pemikiran Minke terhadap konsep bangsanya amat besar. Minke menganggap bahawa bangsa yang dimaksudkan olehnya adalah seluruh bangsa-bangsa yang berbahasa Melayu di dalam dan luar Hindia. Ini bererti selain dari Hindia, termasuklah Melayu seluruhnya kecuali yang berbahasa Cina, serta orang-orang yang berbahasa di Siam, Singapura dan Filifina. Aziz Deraman pula pernah menerangkan bahawa alam Melayu atau dunia Melayu telah ditafsirkan sebagai suatu kawasan budaya yang kaya dan luas melingkungi rantau geografi yang meliputi Malaysia, Indonesia, Filifina, Brnei, Singapura, Selatan Thai, Indo-China dan berkembang ke kepulauan Pasifik di bahagian timur dan mencecah Malagasi di barat sehingga ke Taiwan di bahagian utara. Mereka itu terdiri daripada beberapa kumpulan dialek atau pengucapan bahasa yang mempunyai asas-asas keserumpunan (1992: 13). Dalam karya ini nama bangsa yang Minke sebutkan adalah tidak lain “Bangsa Melayu Besar”. Satu hal yang tidak dapat dilupakan adalah bahawa di sini juga justeru bahasa Melayu yang menjadi dasar bagi pandangan ini. Gagasan ini jelas bertepatan dengan pendapat bahawa suatu bangsa dapat wujud kerana kebudayaan dan bahasa kebangsaan (Ben Anderson 1986: 66), dan “the new middle-class intelligentsia of nationalism had to invite the masses into history: and the invitation-card had to be written in a language they understood” (Tom Nairn 1977: 340).

Selain dari itu, pentingnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan di kepulauan Hindia banyak lagi ditekankan dalam tetralogi ini. Apabila seorang watak peranakan Haji Moeloek menerangkan jasa golongannya untuk Hindia kepada Minke, ditampilkannya pula peranan golongan peranakan dalam mempelopori penerbitan suratkhabar berbahasa Melayu. Dalam situasi begini dia memberikan pandangan bahawa:

“Pribumi mengisi perbendaharaan kata-katanya melalui golongan Indo, dan nama-nama alat kerja yang tadinya tidak dikenal Pribumi. Yang lebih penting, Tuan, juga bahasa Melayu tertulis, tertulis dalam Latin, golongan Indo juga yang memulai. Juga penerbitan koran dan majalah dalam Melayu. - - - - Hanya karena kecintaannya saja pada bahasa Melayu, Tuan. Seperti aku sendiri ini, Melayu lebih sedap dari bahasa apa pun yang aku kenal, dan dapat aku ucapkan. Bahasa yang luarbiasa bebasnya, bisa dipergunakan dalam keadaan apapun, dalam suasana bagaimana pun, tanpa diri merasa kehilangan kehormatan (Pramoedya 1985: 277-278).


Pendapat ini menunjukkan bahawa golongan peranakan lebih dahulu menguasai bahasa Melayu daripada peribumi Hindia (lihat Ahmat Adam 1985: 32-50). Hakikat ini berkaitan dengan pandangan Pramoedya yang mementingkan khazanah sastera yang dihasilkan sebagian besarnya oleh golongan peranakan dan Cina pada perlintasan abad 19 ke 20. Sebenarnya hasil-hasil karya sastera seperti ini tidak diberi perhatian yang istimewa oleh para pengkritik sastera Indonesia. Akan tetapi, justeru Pramoedya yang menganggapnya penting sebagai sebahagian khazanah sastera Indonesia dengan memberi istilah “Sastra Melayu Lingua Franca”, “Sastra Assimilatif” atau “Sastra Pra-Indonesia”. Perlu diambil perhatian terhadapnya, kerana sastera pada masa itu sebagai cerminan keadaan zamannya mengandungi gagasan-gagasan yang mengawali kesedaran nasional. Pramoedya sendiri menjelaskan bahawa Melayu lingua franca merupakan fenomena tunggal di Asia Tenggara, kerana dipergunakan dan dikembangkan oleh orang-orang asing sewaktu memasuki Nusantara dari Melaka sebagai pangkalan. Mula-mula dipergunakan oleh para mubalig asing, juga dari pangkalan Melaka, untuk menyebarkan Islam. Maka tidak mengherankan bila naskhah-naskhah tua Tafsir Al-Quran yang didapatkan di sepanjang pesisir utara Pulau Jawa berbahasa Melayu. Bahkan raja Islam pertama di Demak diperkirakan tidak berbahasa Jawa, tetapi Melayu (1982: 9).

Seperti dijelaskan di atas soal penggunaan bahasa amat penting dalam karya ini. Pramoedya sendiri telah pun berusaha menggunakan kata-kata Melayu untuk menggambarkan pemikirannya, yang sudah tidak biasa digunakan lagi pada masa kini di Indonesia, misalnya antara lain “cik’gu”, “emak”, “kelmarin”, “encik” dan “cawan”. Ini bererti bahawa sebagai seorang sasterawan Pramoedya menyedari ketepatan bahasanya dengan zaman yang dijadikan latar belatang karya, dan penyelidikan yang dilakukan untuk penulisan karyanya amat mendalam. Dalam konteks ini Keith Foulcher memberi pendapat bahwa:

The question of language is, in fact, of crucial importance in Bumi Manusia. Suffice it to say that the wider concerns of the narrative are constantly reflected through references in the text to the relationship between language and consciousness. In one of the exchanges with his mother, as Minke struggles to articulate his rejection of Javanese values, the degree of alienation between his consciousness and his environmemt is expressed at its most poignant through the issue of language (1981: 4).


Dengan demikian Pramoedya menunjukkan sikapnya yang mementingkan penggunaan bahasa Melayu dalam tetralogi ini. Sikap ini sebenarnya berpunca dari pandangan yang menghargai sikap demokratik, praktikal dan anti-feudal, yang justeru merupakan sifat-sifat bahasa Melayu juga.

Agama Islam

Tanggapan Pramoedya terhadap agama Islam juga dapat dilihat dalam karya ini. Sebagaimana yang tersebut di atas agama Islam merupakan salah satu faktor penting untuk penyatuan bangsa Melayu. Dan tidaklah berlebihan jika dikatakan tamadun Melayu adalah sebenarnya tamadun Islam. Dalam karya ini juga Islam dianggap penting sebagai rantai pengikat Bangsa Melayu Besar yang diistilahkan oleh watak utama Minke. Ini kerana dianggap olehnya bahawa satu faktor yang menimbulkan semangat nasionalisme yang padu adalah persamaan agama yang tinggi darjatnya yang terdapat di kepulauan Indonesia. Agama Islam dianggap “bukan saja boleh menjadi rantai pengikat, malah sebenarnya ia menjadi semacam lambang persaudaraan yang dapat mengawal atau mempertahankan diri daripada anasir-anasir pengacau asing dan tekanan dari agama-agama lain (George Mac T. Kahin 1980: 49).

Dalam karya ini watak utama Minke tidak digambarkan sebagai seorang Jawa yang termasuk dalam kalangan santri asli yang mempunyai orientasi yang lebih kuat dan lebih asli terhadap agama Islam berbanding dengan penduduk-penduduk lainnya, melainkan dia dapat dikatakan termasuk golongan abangan (lihat Clifford Geertz 1989). Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa Minke adalah seorang muslim yang tetap menggantungkan harapan kepada kepercayaan agamanya, iaitu Islam. Ini terlihat pada sikap Minke yang bersandarkan kepada Allah apabila dia mengalami kesulitan seperti berikut:

Ya, Allah, juga kenelangsaan bisa menghasilkan sesuatu tentang ummatMu sendiri. Kau jugalah yang perintahkan ummat untuk berbangsa- bangsa dan berbiak. - - - - Aku berpaling kepadaMu, karena orang-orang yang dekat denganMu pun tidak pernah menjawab. Kaulah yang men- jawab sekarang. Aku hanya menulis tentang yang kuketahui dan yang kuanggap aku ketahui. Bukankah segala ilmu dan pengetahuan juga berasal tidak lain dari Kau sendiri? (Pramoedya 1980a: 186).


Selain itu, Minke sedaya upaya berusaha memperluaskan organisasi peribumi yang bercirikan kepada agama Islam,iaitu melalui gerakan Syarikat Dagang Islamiah. Maka, watak Pangemanann sebagai seorang pegawai peribumi yang berpangkat tinggi, dan juga sebagai seorang pengagum Minke, yang mengintip juga gerak-geri Minke untuk mencegah perluasan gerakan kebangkitan nasional itu, menilainya bahawa “beribu-ribu pengikutnya, terdiri dari muslim putih dan terutama abangan dari golongan mardika. Dia sendiri dari golongan priyayi, kadar keislamannya mudah ditukar. Islam baginya unsur pemersatu yang tersedia di Hindia” (Pramoedya 1988: 7). Dan, apabila Minke berbincang dengan Douwager, seorang peranakan yang membantu Minke di pejabat redaksi majalah Medan, dia memberi pendapatnya mengenai Islam sebagai berikut:

Dan, Islam, kataku selanjutnya, yang secara tradisional melawan penjajah sejak semula Eropa datang ke Hindia, dan akan terus melawan selama penjajah berkuasa. Bentuknya yang paling lunak: menolak kerjasama, jadi pedagang. Tradisi itu patut dihidupkan, dipimpin, tidak boleh mengamuk tanpa tujuan. Tradisi sehebat dan seperkasa itu adalah modal yang bisa menciptakan segala kebajikan untuk segala bangsa Hindia (Pramoedya 1985: 339).


Perlu disebut juga segala usaha Minke yang dipaparkan dalam karya ini adalah berpunca dari pemikiran kemanusiaan Pramoedya sendiri, yang menjadi salah satu asas tamadum Islam. Pada dasarnya tamadun Islam yang dibentuk dalam berbagai corak dan rupa itu mempunyai asas-asas yang kukuh. Asas-asasnya adalah antara lain: keagungan dan keluhuran nilai kemanusiaan berbanding dengan nilai benda ; dan, berfungsinya nilai kemanusiaan yang menyebabkan berkembangnya sifat kemanusiaan manusia bukannya sifat kebintangan. Dengan perkataan lain, apabila kemanusiaan manusia itu menjadi nilai tertinggi dalam sebuah masyarakat dan apabila sifat kemanusiaan di dalam masyarakat itu menjadi tumpuan penilaian ketika itulah masyarakat itu menjadi sebuah masyarakat yang bertamadun (Azam Hamzah 1990: 25-26).

Kemanusiaan adalah merupakan satu dasar pemikiran Pramoedya, kerana sebahagian besar karya sasteranya mengandungi ciri-ciri tersebut sebagai landasan penciptaannya. Rasa kemanusiaan ini terdedah dalam karyanya sebagai pancaran dari penderitaan yang dialaminya sendiri. Memandangkan kehidupan Pramoedya yang selalu didampingi dengan penderitaan manusia secara langsung atau tidak langsung, wajarlah beliau membawa ciri-ciri kemanusiaan yang ditimbulkan daripada lenturan penderitaan itu dalam karyanya sendiri. Pemikiran kemanusiaan yang dipaparkan oleh Pramoedya dalam karya ini adalah berpunca dari satu anggapan bahawa manusia manghayati kehidupannya sebagai manusia sebenar dengan melapaskan diri dari segala belenggu, umpamanya warisan kebudayaan yang kolot dan ketidakadilan dari kuasa kolonial. Dalam konteks ini Minke sangat bersimpati dengan nasib watak Nyai dan Surati yang dijual oleh ayah mereka sendiri untuk kenaikan pangkat ayahnya masing-masing.

Pramoedya memperlihatkan aspek kemanusiaan dalam karya tetraloginya ini dengan memberatkan juga soal penggunaan kekerasan dalam satu tindakbalas. Ini dapat dilihat apabila Trunodongso cedera parah kerana tertikam pedang Kompeni dalam suatu rusuhan. Minke menasihatinya bahawa tidak semua permasalahan dapat diselesaikan dengan senjata dan amarah. Di samping itu, Minke merasa sangat gelisah apabila isterinya, Prinses Kasiruta, menembak mati orang-orang yang hendak membunuh Minke. Semua ini berlaku kerana, seperti yang tersebut di atas, dia menangapi bahawa penggunaan kekerasan untuk tujuan apa pun tidak dapat merupakan penyeselaian masalah. Rasa kegelisahan Minke terhadap tindakan isterinya ditunjukkan seperti berikut:

Dia tidak mau tahu betapa gelisah suaminya tidur di samping seorang pembunuh.
“Kau menembak orang yang tidak siap untuk melawan. ”
“Aku hanya punya seorang suami. Suamiku bekerja untuk banyak urusan. Pekerjaanku terutama mengurus suamiku. Mereka dalam keadaan hendak menyerang waktu kutembak - - - -. ”
Ia sama sekali tak terganggu setelah melakukan perbuatannya. Tenang- tenang seperti tak ada terjadi sesuatu. Barangkali ia pernah melaku- kan pembunuhan-pembunuhan sebelumnya. Bulu romaku menggermang. Benar- kah selama ini aku beristrikan seorang pembunuh? Dan aku tidak tahu? (Pramoedya 1985: 436-437).


Seperti yang dijelaskan di atas Pramoedya membuat soal kemanusaian tertonjol dan hidup melalui peranan dan tindakan watak-watak dalam karya ini. Dengan demikian pemikiran Pramoedya yang mementingakan bahasa Melayu dan agama Islam ini bertepatan dengan asas-asas alam Melayu yang memang bersifat demikian.

Mengkaji seorang pengarang sesungguhnya adalah bermaksud mengikuti tanggapan diri pengarangnya terhadap dunia luar, yang terpancar dalam karyanya. Mengikuti pertumbuhan dan perkembangan karya sastera Pramoedya bererti membicara dan menganalisis dunia dan alam pemikirannya sendiri. Seorang novelis tidak hanya menyajikan kehidupan, tetapi juag intuisi dan tafsiran tentang kehidupan. Oleh yang demikian lahir batin yang didedahkan dalam karyanya dapat dirasakan juga sebagai pengalaman manusia umumnya. Dan pengalaman demikian menjadi dasar terpenting dalam menumbuhkan pemikiran Pramoedya, kerana sesuatu pemikiran tidak dapat langsung diwujudkan dari keadaan vakum. Semua ini bermakna pula apabila karya-karya yang mempersoalkannya itu dikaji atau dikritik tanpa sesuatu prasangka terhadap pengarangnya.

__________________
Bibliografi

Ahmat Adam, 1985, “The Bintang Hindia and the Pursuit of Kemajuan for Indonesians” dalam Jurnal Antropologi dan Sosiologi, vol. 13, UKM: 3-14.
____________, 1989, “Pramoedya Ananta Toer dalam Rumah Kaca” dalam Dewan Sastera, Jun: 29-33.
Anderson, Benedict, 1986, Imagined Communities: Reflections on the Origin and Spread of Nationalism, London: Verso.
Azam Hamzah, 1990, Tamadun Islam: Konsep dan Pencapaiannya, Shah Alam: Hizbi.
Aziz Deraman, 1992, Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia, KL: Arena Ilmu.
Carr, Denzel, 1959, “Sampai Ke mana Memurnikan Bahasa?” dalam Siasat, 21 Januari.
Foulcher, Keith, 1981, “Bumi Manusia and Anak Semua Bangsa: Pramoedya Ananta Toer Enters the 1980s” dalam Indonesia, no. 32: 1-15.
Geertz, Clifford, 1989, Abangan, Santri, Priyayi dalam Masyarakat Jawa, Jakarta: Pustaka Jaya.
Harun Mat Piah, 1989, “Tamadun Melayu Sebagai Kebudayaan Kebangsaan: Satu Tinjauan Dan Justifikasi” dalam Aziz Deraman et al. (ed. ), Tamadun Melayu, Jilid Dua, KL: DBP.
Hayes, Carlyon, J. H. , 1931, The Historical Evolutuin of Modern Nationalism, New York: Richard R. Smith.
Hoffman, John, 1979, “A Foreign Investment: Indies Malay to 1901” dalam Indonesia, no. 27: 65-92.
Hoggart, Richard, 1966, “Literature and Society” dalam Mckenzie (ed. ), A guide to the Social Sciences.
Jakob Sumardjo, 1985, “Novel Sejarah Kita” dalam Kompas, 15 Oktober.
Kahin, George Mac T. , 1980, Nasionalisme Dan Revolusi di Indonesia, KL: DBP.
Koh Young Hun, 1996, Pemikiran Pramoedya Ananta Toer dalam Novel-Novel Mutakhirnya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kohn, Hans, 1965, Nationalism: Its Meaning and History, Toronto: Van Nostrand.
Lukacs, Georg, 1962, The Historical Novel, London: Merlin Press.
Nairn, Tom, 1977, The Break-Up of Britain, London: New Left Books.
Pramoedya Ananta Toer, 1980a, Bumi Manusia, Jakarta: Hasta Mitra.
____________, 1980b, Anak Semua Bangsa, Jakarta: Hasta Mitra.
____________, 1982, Tempo Doeloe, Jakarta: Hasta Mitra.
____________, 1985, Jejak Langkah, Jakarta: Hasta Mitra.
____________, 1988, Rumah Kaca, Jakarta: Hasta Mitra.
Sutan Takdir Alisjahbana, 1956, Sejarah Bahasa Indonesia, Jakarta: Pustaka Rakyat.
Teeuw, A. , 1980, Sastra Baru Indonesia, Ende: Nusa Indah.

0 comments:

Post a Comment

Ronggeng Dukuh Paruk (Ahmad Tohari) - Lintang Kemukus Dini Hari (Ahmad Tohari) - Jentera Bianglala (Ahmad Tohari) - Kubah (Ahmad Tohari) - Di Kaki Bukit Cibalak (Ahmad Tohari) - Bekisar Merah (Ahmad Tohari) - Siti Nurbaya (Marah Rusli) - Di Bawah Lindungan Kabah (Hamka) - Azab dan Sengsara (Merari Siregar) - Harimau-Harimau (Mochtar Lubis) - Supernova (akar - Dee) - Supernova (petir - Dee) - - Sengsara Membawa Nikmat (Tulis Sutan Sati) - Mantra Penjinak Ular (Kuntowijoyo) - Mangir (Pramoedya Ananta Toer) - Arok-Dedes (Pramoedya Ananta Toer) - Perburuan (Pramoedya Ananta Toer) - Kasih Tak Terlerai (Suman Hs) - Gadis Pantai (Pramoedya Ananta Toer) - Atheis (Achdiat Kartamiharja)


goesprih.blogspot.com Overview

goesprih.blogspot.com has 1.444.907 traffic rank in world by alexa. goesprih.blogspot.com is getting 761 pageviews per day and making USD 3.70 daily. goesprih.blogspot.com has 210 backlinks according to yahoo and currently not listed in Dmoz directory. goesprih.blogspot.com is hosted in United States at Google data center. goesprih.blogspot.com is most populer in INDONESIA. Estimeted worth of goesprih.blogspot.com is USD 2701 according to websiteoutlook